Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 Mac. - Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) hari ini menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah BND154,900 berserta makanan asasi, kuih raya dan minuman ringan kepada 150 keluarga yang terdiri daripada warga emas serta golongan yang memerlukan di seluruh negara melalui Program Ihsan YSHHB sempena bulan Ramadan 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Melalui program ihsan berkenaan, YSHHB juga menyumbangkan peralatan keperluan pesakit, khususnya bagi warga emas, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyantuni golongan yang memerlukan.
Pada masa yang sama, YSHHB juga memberikan sumbangan peralatan kepada beberapa individu yang dikenal pasti bagi menyokong usaha mereka menjana pendapatan keluarga.
Sehubungan dengan itu, sebanyak lima buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di beberapa buah kampung di Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Belait turut menerima sumbangan kewangan berjumlah keseluruhan BND9,800 sempena program ihsan berkenaan.
Penyampaian sumbangan melalui Program Ihsan YSHHB telah dikendalikan di beberapa buah kampung di keempat-empat buah daerah.
Bagi Daerah Brunei dan Muara (DBM), rombongan dan penyampaian sumbangan diketuai oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB.
Turut hadir, Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.
Penyerahan bagi DBM dimulakan dengan mengunjungi kediaman Dayang Piah binti Md. Zain di Kampung Pancha Delima, diikuti dengan penyerahan di kediaman Pengiran Seri Rama bin Pengiran Seri Damit, dan seterusnya Dayang Nirodasimah binti Haji Mumin di Kampung Sungai Akar.
Rombongan kemudian menuju ke kediaman mangsa-mangsa kebakaran, iaitu Awang Chibrauwi @ Muhamad Asy-Syarqawi bin Mohamad Said di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Tanah Jambu, dan Awang Ladis bin Haji Jaffar di RPN Meragang.
Rombongan kemudian mengunjungi kediaman penerima seterusnya, iaitu Dayang Chee binti Jemat bertempat di Kampung Kapok.
Selaras dengan hasrat murni penubuhannya, YSHHB sebagai wadah amal jariah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta ahli kerabat baginda, dalam sentiasa memberikan pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta penduduk di Negara Brunei Darussalam.
Sumbangan menerusi Program Ihsan YSHHB berkenaan diharapkan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga dalam menyediakan keperluan sepanjang bulan Ramadan.
Dengan adanya bantuan berkenaan, para penerima diharapkan dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna serta merasai kegembiraan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Selaras dengan matlamat strategik YSHHB dalam memperkukuh pemedulian terhadap kebajikan golongan yang memerlukan, program berkenaan dilaksanakan pada setiap bulan Ramadan dengan menyasarkan warga emas serta keluarga yang memerlukan bantuan di seluruh negara.
Para penerima dikenal pasti melalui kerjasama dengan YSHHB, Jabatan-jabatan Daerah di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB), Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Program yang mula dilaksanakan sejak 2019 berkenaan telah membantu seramai 1,195 buah keluarga di seluruh negara.